KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan siasatan segera dan menyeluruh susulan kemalangan maut membabitkan lori jabatan itu di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Anwar menerusi kenyataan ringkasnya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh.
“Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, sebuah lori Isuzu Black Maria milik Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sedang dalam perjalanan ke Chow Kit terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan dan empat pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat Maju Junction.
Kemalangan itu mengakibatkan tiga pejalan kaki yang merupakan satu keluarga maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi ahli keluarga berusia 55 tahun cedera.
Polis sebelum ini memaklumkan dua pemandu, masing-masing pemandu lori Jabatan Imigresen berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 50 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.