PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dikurniakan keafiatan berpanjangan.
Dalam satu hantaran di media sosial pada Jumaat, Anwar turut mendoakan supaya Seri Paduka sentiasa berada dalam lindungan, rahmat dan inayah Allah SWT.
Advertisement
Ucapan itu dizahirkan susulan keadaan kesihatan Seri Paduka Baginda yang kini sedang gering akibat kesakitan musculoskeletal melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong telah dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis rasmi bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.
Istana Negara turut memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik sahaja kesihatan Baginda beransur pulih.