Skip to main content

Malaysia

PM Anwar mahu peraturan sekat kebebasan mahasiswa bersuara dimansuhkan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal bergambar bersama para pelatih pada program Temu Anwar bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515 hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal bergambar bersama para pelatih pada program Temu Anwar bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515 hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan, memberi teguran dan mengkritik kepimpinan negara dimansuhkan.

Beliau berkata, mahasiswa perlu diberikan kebebasan untuk menyatakan pandangan secara terbuka, termasuk mengkritik Perdana Menteri tanpa berdepan sekatan menerusi peraturan sedia ada.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke Parlimen dalam tempoh satu hingga dua minggu bagi membatalkan mana-mana peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara.

Advertisement

“Peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa berbicara, itu harus dihapuskan. Jadi dalam tempoh satu dua minggu ini, kita akan bentangkan ke Parlimen untuk membatalkan mana-mana peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara, menegur, termasuk menegur Perdana Menteri,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara sempena Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kem 515, Kuala Lumpur, hari ini.

Advertisement

Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan sehingga melanggar undang-undang atau melibatkan ancaman jenayah.

Beliau menjelaskan, kritikan terhadap kepimpinan negara, termasuk dalam bentuk teguran keras, tidak seharusnya dianggap sebagai satu kesalahan selagi tidak melanggar batas undang-undang.

Sebaliknya, seruan untuk membunuh seseorang merupakan tindakan yang melampaui batas kebebasan bersuara dan boleh dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan membentuk generasi muda yang mampu menilai sesuatu maklumat berdasarkan ilmu, fakta dan kefahaman, bukannya dipengaruhi sentimen atau naratif tidak berasas.

Must Watch Video

Advertisement