MALAYSIA
PM harap misi Global Sumud Flotilla berterusan, kecam kekejaman Israel

Perdana Menteri Anwar berharap agar misi kemanusian Global Sumud Flotilla (GSF) berterusan sehingga bantuan kepada warga di wilayah Gaza dapat diedarkan. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar misi kemanusian Global Sumud Flotilla (GSF) berterusan sehingga bantuan kepada warga di wilayah Gaza dapat diedarkan.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menggesa agar jenayah kezaliman dan keganasan yang dilakukan oleh rejim zionis Israel ke atas penduduk Gaza dihentikan segera.
“Kita masih mengharapkan (pelayaran) berterusan dan kezaliman keganasan Israel mesti dihentikan sekarang,” katanya semasa ditanya mengenai perkembangan misi GSF selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 peringkat kebangsaan, di sini, hari ini.
Pada Khamis, media melaporkan, kapal-kapal dalam armada flotila kini berada pada jarak kurang daripada 1,000 kilometer (bersamaan 621 batu) dari Semenanjung Gaza (enklaf Palestin), sementara mereka masih meneruskan misi untuk mencabar sekatan yang telah lama dikenakan oleh Israel.Kemas kini itu hadir sehari selepas GSF melaporkan sebanyak 12 letupan mengenai sembilan kapal mereka akibat gangguan dron di perairan antarabangsa.
Wakil Kesatuan Peguam Arab, Abdelhaq Benqadi yang turut serta dalam misi berkenaan berkata, pasukan perundangan kini sedang bersiap sedia membawa insiden itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dengan menuduh Israel melakukan “jenayah perang di laut.”
Flotila berkenaan terdiri daripada 53 kapal yang membawa bekalan kemanusiaan termasuk bantuan perubatan, dengan lebih 500 aktivis dari seluruh dunia menyertai pelayaran tersebut.
Sementara itu, penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyimpulkan bahawa Israel sedang melakukan jenayah genosid di Gaza, dengan lebih 65,400 nyawa terkorban sejak Oktober 2023.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengarahkan masjid dan surau di bawah seliaannya melaksanakan solat hajat khas bagi mendoakan keselamatan dan perlindungan terhadap sukarelawan Pasukan GSF
Antara masjid terlibat ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang akan melaksanakan solat hajat selepas solat Jumaat, hari ini.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami