Janji Pakatan Rakyat (PR) yang mahu memberikan royalti 20 peratus untuk negeri-negeri yang mengeluarkan minyak dan menurunkan harga minyak dan gas akan memberi kesan kepada Petronas dan pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan sektor minyak dan gas memerlukan perbelanjaan modal yang besar.

Perdana Menteri berkata jika pihak pembangkang Pakatan Rakyat menaikkan royalti kepada 20 peratus, ia akan menjejaskan kemampuan Petronas untuk melabur dan membuat pelaburan semula.

“Bukan sahaja perbendaharaan akan terjejas, tetapi keupayaan Petronas untuk melabur dan melabur semula, untuk meneroka minyak di perairan yang lebih dalam, untuk melihat rizab minyak baru, sambil mengekalkan yang sedia ada akan berada dalam bahaya,” kata Najib.

Beliau menambah Petronas tidak akan menjadi organisasi yang berjaya seperti hari ini jika tidak kerana rizab yang kukuh dan keupayaannya untuk melabur.

Najib juga berkata jika cadangan pengurangan dalam harga petrol, diesel dan gas seperti dalam manifesto pembangkang dilaksanakan, subsidi tahunan bagi bahan api boleh meningkat kepada RM30 bilion setahun.

Jika ini berlaku, sumber Petronas untuk pelaburan yang produktif akan disalurkan kepada penggunaan swasta.

Klik video untuk laporan Astro AWANI.