KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan, di sini, selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selama hampir satu jam.
Beliau terlebih dahulu memasuki perkarangan istana pada jam 6 petang.
Pada Ahad malam, Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua ahli Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata menurut Perkara 38 (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan telah masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, pada Isnin menerusi satu kenyataan berkata, mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, serta tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Ismail menegaskan, beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati berhubung pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri di bawah Perkara 38(5) UUTKNS 1959.
Justeru, beliau menegaskan tiada sebarang keperluan untuk mengemukakan senarai cadangan Exco yang baharu kerana barisan Exco sedia ada masih sah dari sudut undang-undang dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.