KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Tawaran itu diumumkan ketika beliau menyampaikan ucapan khas pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Ahad.

Ismail Sabri menjelaskan kerjasama rentas parti yang ditawarkan itu bertujuan untuk mewujudkan kestabilan politik menerusi kebersamaan.

"Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

"Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

"Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

"Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19," katanya.


[INFOGRAFIK] Profil Datuk Seri Ismail Sabri

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan 16 Ogos lalu.

Pada Sabtu, Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.