PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengembalikan had kelayakan asas subsidi petrol BUDI95 sehingga 300 liter sebulan, yang menjadi antara enam inisiatif segera membantu rakyat yang diumumkan Perdana Menteri bersempena Amanat Hari Kebangsaan ke-69 hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu memberi manfaat kepada lebih 16 juta rakyat yang menggunakan RON95 bersubsidi.
Selain itu, Anwar berkata, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menerima subsidi BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Jelas beliau, kerajaan memutuskan untuk mengambil tindakan segera berkuat kuasa 1 September ini bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat tanpa perlu menunggu pembentangan belanjawan akan datang.
"Biasanya saya akan jawab tunggu belanjawan, tetapi nampak rakyat tak mahu sabar dan tak mahu menunggu kerana mereka tertekan dan berteri-teri sampainya kepada saya, tekanan sara hidup tak tunggu.
"Perniagaan perlu berkembang sekarang, tak boleh tunggu. Maka di ambang kemerdekaan ini, saya berikhtiar mencari jalan, mengambil langkah dan membuat sesuatu yang boleh melegakan," kata beliau ketika menyampaikan amanat tersebut di sini, hari ini.
Selain subsidi bahan api, inisiatif kedua membabitkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), SJKC, SJKT, sekolah agama, tahfiz, pondok dan pendidikan khas, dengan kerja-kerja pembaikan digerakkan mulai bulan hadapan.
Bagi inisiatif ketiga, Program kecerdasan buatan (AI) untuk Rakyat dibuka kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun, menyaksikan seramai 100,000 individu yang melengkapkan modul ditetapkan bakal menerima langganan dan akses aplikasi AI terpilih secara percuma selama tiga bulan.
Bagi sektor kesihatan awam, selaku ikhtiar keempat, peruntukan RM1 bilion disediakan untuk memperkukuh kecekapan digital melalui pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik serta ketersambungan internet di 150 hospital awam dan lebih 2,000 klinik kesihatan bagi mengurangkan tempoh beratur pesakit.
Menyentuh sektor perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian e-invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta jualan setahun, sekali gus mengecualikan syarikat di bawah paras tersebut daripada kewajipan melaksanakannya.
Sebagai ikhtiar keenam, dana pembiayaan mikro ditingkatkan sebanyak RM1 bilion menjadikan keseluruhan dana RM6 bilion bagi tahun 2026, di samping pengenalan Geran Sejahtera Madani bernilai RM200 juta khusus bagi membantu penjaja, peniaga pasar malam dan pengusaha dari rumah.
"Semua ini dilaksanakan berkuat kuasa 1 September 2026. Mudah-mudahan keenam-enam ikhtiar ini dapat dilaksanakan kerana ia menolak satu prinsip yang jelas... pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan," ujar beliau.
Perdana Menteri turut mengisytiharkan bahawa semua aset dan dana berbilion ringgit yang dirampas daripada hasil haram dan rasuah melalui proses perundangan serta keputusan kehakiman akan disalurkan semula kepada rakyat, terutamanya dalam memperkasakan bidang pendidikan dan kesihatan.