PN gesa SPRM siasat dakwaan salah laku Shamsul Iskandar

PN juga menggesa semua pihak yang terlibat memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan menegaskan bahawa sebarang salah laku harus diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih, kata Takiyuddin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan bebas berhubung dakwaan salah laku yang melibatkan peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan gesaan ini dibuat susulan pendedahan Shamsul Iskandar didakwa mengeluarkan surat sokongan kepada beberapa kontraktor bagi projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun lepas, yang juga pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Selain itu, seorang ahli perniagaan mendakwa beliau menyerahkan lebih RM600,000 kepada individu yang sama berkait skandal perlombongan mineral di Sabah sebelum ini.
"Sebagai bukti, ahli perniagaan tersebut menyusun dokumen lebih 300 halaman, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp, resit dan gambar," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Takiyuddin menegaskan, bahawa kegagalan SPRM mengambil tindakan segera boleh memberi kesan besar terhadap inisiatif kerajaan dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang.
"PN juga menggesa semua pihak yang terlibat memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan menegaskan bahawa sebarang salah laku harus diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


