Polis akan memanggil Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu (KMM), Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Dr Zainal akan dipanggil dalam masa terdekat untuk direkodkan keterangannya.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan tarikh sebenar Dr Zainal akan dipanggil.

"Sesiapa sahaja yang diperkatakan itu akan dipanggil untuk memberi keterangan, itu saja dalam masa terdekat. Ikutlah, kadang-kadang kita bertolak-ansur di situ. Mereka kata sibuk, nanti kita akan ambil 'statement'," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Pasukan Polis Marin ke-72 di Markas Pasukan Marin Wilayah Satu, Batu Uban, di sini pada Khamis.


Dr Zainal dalam ucapan pembukaan tirai Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati, Shah Alam Ahad lalu didakwa menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Kongres itu turut disertai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin tertinggi UMNO, Pas dan Pakatan Harapan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Dr Zainal susulan satu laporan polis dibuat berhubung himpunan kongres tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.