Skip to main content

Malaysia

Polis akan rakam keterangan Abdul Hadi, siasat dakwaan ditawar AS jatuhkan kerajaan BN

61757913837_HadiAwang.jpg
Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar, rakaman percakapan Abdul Hadi pula akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan. - Foto arkib
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini sebanyak 12 laporan diterima berhubung isu ini dan seramai 12 saksi telah dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, rakaman percakapan Abdul Hadi pula akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan.

Pada Ahad, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur nafi pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang dakwaan yang sebaliknya sebagai palsu.

Kenyataan itu susulan dakwaan Abdul Hadi pada Sabtu bahawa seorang wakil Kedutaan Amerika Syarikat pernah bertanya kepadanya mengenai calon yang dicadangkan Pas sebagai perdana menteri.

Abdul Hadi mendakwa, dalam pertemuan itu, kedua-dua pimpinan utama Pas turut dimaklum mengenai kemungkinan untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pentadbiran, selain mendakwa Washington bersedia membantu usaha berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement