GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di negeri itu selepas menahan sepasang suami isteri dalam serbuan di Gelugor.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Soffian Santong berkata, dalam serbuan pada 23 Februari lepas, pelbagai jenis dadah bernilai RM30,900 serta sepucuk pistol dan lima butir peluru dirampas.

Jelasnya, suspek lelaki berusia 46 tahum ditahan kira-kira jam 11.45 malam di perkarangan pangsapuri bersama syabu seberat 51 gram. Manakala isterinya yang berusia 43 tahun ditahan di dalam rumah tersebut.

"Pemeriksaan lanjut menemui sekotak plastik mengandungi sembilan peket dadah jenis syabu dan heroin serta sepucuk Revolver serta lima butir peluru.

"Kedua-dua suspek yang tidak bekerja dipercayai bergiat aktif dengan sindiket itu sejak pertengahan 2022 bagi pasaran tempatan dan dijual sekitar Pulau Pinang.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan lebih kurang 3,040 penagih dadah atau 3,040 kali penggunaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di George Town pada Khamis.

Dalam pada itu tegas Soffian, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan benzo serta mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan dadah.

"Sementara ujian saringan air kencing isterinya negatif selain tiada rekod jenayah lampau," ujarnya.

Kedua-dua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 24 Februari lepas sehingga 2 Mac bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Tambah Soffian, pihaknya juga sudah menghantar pistol dan peluru ke Jabatan Kimia untuk ujian balistik.

Dalam perkembangan berasingan, Soffian menjelaskan, polis menahan seorang peniaga barang elektrik dan merampas dadah jenis ganja seberat 5,264 gram bernilai RM13,160 oleh Jabatan  Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah, Timur Laut.

Soffian berkata, lelaki berusia 33 tahun yang berniaga secara dalam talian itu ditahan pada jam 9.50 malam di tempat letak kereta di George Town .

"Pemeriksaan lanjut menemui ketulan mampat daun kering ganja di dalam kereta Perodua Bezza.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dadah," jelasnya.

Katanya lagi, hasil siasatan juga mendapati sindiket terbabit aktif sejak pertengahan tahun lepas dan dadah dirampas adalah untuk pasaran tempatan.