Polis buka kertas siasatan video tular insiden treler bawa helikopter

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4 Dis apabila sebuah treler membawa muatan helikopter tidak dapat melalui susur jalan dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas). - Foto tangkap layar video tular
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu rakaman video tular yang memaparkan sebuah lori treler membawa muatan helikopter sehingga menghalang laluan kenderaan di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) menghala ke susur Jalan Persiaran Kewajipan, di sini.
Ringkasan AI
- Polis sedang menyiasat video tular treler membawa helikopter menyebabkan kesesakan lalu lintas di Subang Jaya baru-baru ini.
- Treler terbabit tidak dapat melalui susur jalan, menyebabkan kesesakan dan gangguan terhadap pengguna jalan lain.
- Polis meminta bantuan orang ramai untuk siasatan dan belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
"Siasatan awal mendapati lori treler berkenaan yang membawa muatan sebuah helikopter tidak dapat melalui susur jalan tersebut berikutan muatan terlalu panjang.
“Keadaan itu telah menyebabkan kesesakan trafik serta mengganggu pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Wan Azlan berkata, kesesakan tersebut turut menjejaskan pergerakan sebuah ambulans yang sedang melalui laluan berkenaan.
Bagaimanapun, Wan Azlan memaklumkan pihak polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Kaedah 9(2), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495 atau mana--mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, media melaporkan sebuah lori yang membawa muatan helikopter dipercayai tersangkut di susur lebuh raya berhampiran Bandar Sunway sehingga menyebabkan kesesakan trafik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


