SHAH ALAM: Polis sedang memburu lima suspek kes samun bersenjata di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Petaling, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian pada sebelah petang itu, lima suspek yang memakai topeng, sarung tangan serta bersenjatakan parang telah meletakkan kenderaan mereka di laluan belakang sebuah rumah sebelum memasuki kediaman itu melalui pintu belakang.

Beliau berkata lima sekeluarga berumur 38 hingga 70 tahun berada di dalam rumah itu semasa kejadian, dan suspek mengikat tangan serta menutup mulut empat daripada mereka sebelum ditempatkan di dalam dua bilik, manakala seorang lagi mangsa tidak diikat, dipercayai atas faktor usia.

Menurutnya beberapa suspek turut memukul seorang mangsa perempuan berusia 45 tahun di bahagian hidung dan badan sebelum mengetuk kepalanya menggunakan belakang parang sehingga menyebabkan kecederaan.

"Suspek kemudian menyelongkar bilik dan melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, barang kemas bernilai sekitar RM20,000 dan lima telefon bimbit, sebelum keluar melalui pintu sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata kereta yang digunakan suspek kemudiannya dijumpai di sebuah lorong di kawasan perumahan Taman Desawan, Klang, dan semakan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor plat palsu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan auspek atau kejadian itu diminta menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Klang Selatan dengan menelefon 03-33762222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan samun, dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebatan.

Terdahulu satu rakaman video berkaitan kejadian itu didapati tular di media sosial, memaparkan sekumpulan lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah dan menaiki sebuah kereta.

-- BERNAMA