MALAYSIA
Polis cedera ditembak: Sembilan individu direman seminggu untuk bantu siasatan

Sebahagian daripada suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh sekitar jam 10.30 pagi ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seramai sembilan individu direman seminggu bagi membantu siasatan kes tembak seorang anggota polis dan penemuan mayat seorang wanita di Simpang Pulai pada Ahad.
Perintah reman sehingga Ahad depan itu dikeluarkan Majistret Anis Hanini Abdullah ketika sembilan suspek berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.
Permohonan reman dibuat pihak polis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana percubaan membunuh.
Seorang suspek wanita direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala lapan suspek lelaki direman untuk siasatan mengikut Seksyen 307 kanun yang sama.Terdahulu, kesemua suspek yang berumur antara 30 dan 70 tahun dibawa memasuki mahkamah sekitar jam 10.30 pagi sebelum dibawa keluar kira-kira setengah jam kemudian.
Pada Ahad, media melaporkan, seorang anggota polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai terkena tembakan di bahagian perut dan tikaman pisau semasa bergelut dengan suspek di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sebuah kilang di Simpang Pulai pada awal pagi.
Dalam kejadian 1.15 pagi itu, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan pelbagai guna suspek turut menemukan mayat seorang wanita berusia 62 tahun di bahagian tempat duduk belakang.
Anggota polis berpangkat konstabel itu dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri bersama pistol yang dirampas daripada anggota polis berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami