KLANG: Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki warga tempatan dan warga asing yang terbabit dengan kes pergaduhan di hadapan sebuah hospital di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata kejadian berkenaan dikesan berdasarkan sebuah video berdurasi 14 saat yang tular.

"Video berkenaan memaparkan insiden mendatangkan cedera melibatkan seorang warga tempatan dan seorang warga asing dipercayai warga Afrika.

"Seorang daripada lelaki tersebut tidak memakai baju kelihatan sedang berkomunikasi dengan seorang lelaki lain yang memakai baju hitam, sebelum dipukul di kepala dengan menggunakan sebuah topi keledar merah yang berada di tangan lelaki tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di hadapan Hospital Sentosa di sini.

"Punca kejadian masih di dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau sehubungan itu meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk mengesan suspek dalam kejadian berkenaan.

"Sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau terus kepada Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999 atau ke balai-balai polis berdekatan," katanya.

Berita asal di sini: Polis kesan individu gaduh depan hospital