Polis akan terus mengambil pendekatan yang lebih tegas menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk membuat rondaan di kawasan perumahan dan komersial di daerah ini, melalui Sistem Rondaan Arbedeen.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata sejak pelaksanaan PKP, kedua-dua jenis kawasan terbabit kurang ditinjau kerana tumpuan lebih diberikan terhadap kaedah lain.

Katanya, memasuki fasa ketiga PKP, polis tidak lagi 'berlembut' dengan hanya memberi nasihat atau amaran sebaliknya akan terus mengambil tindakan tegas secara menyeluruh di semua kawasan.

"Cukuplah dengan amaran, sudah sampai masa untuk kita bertindak kerana masyarakat sepatutnya memahami dan sesuaikan diri dengan keadaan sedia ada.

"PKP telah memasuki fasa ketiga, tiada alasan lagi untuk mereka tidak patuh kepada arahan PKP tidak kira sama ada rakyat Malaysia atau warga asing", katanya ketika melancarkan Sistem Rondaan Aberdeen di Balai Polis Damansara pada Khamis.

Sistem Rondaan Aberdeen yang bersempena nama sebuah bandar di Scotland menggunakan beberapa kenderaan peronda polis (MPV) membawa anggota polis dan tentera melakukan rondaan di kawasan yang sudah dikenal pasti.

Katanya, setiap pasukan akan melakukan rondaan dalam tempoh 45 minit di sesebuah kawasan sebelum menuju ke lokasi yang berlainan.

Beliau berkata, buat masa ini, pelaksanaan sistem rondaan itu bertumpu di kawasan Petaling Jaya dan akan diperluaskan ke kawasan lain jika berjaya meningkatkan trend pematuhan masyarakat terhadap PKP.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan tangkapan di Selangor adalah sebanyak 2,255 orang dan seramai 1,050 orang telah dituduh di mahkamah.