IPOH: Polis Perak telah siap siaga dalam memastikan kelancaran perjalanan vaksin sampai ke negeri ini dengan selamat pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya juga akan memastikan aspek keselamatan terjaga dengan bantuan mengiringi vaksin tersebut dari Pulau Pinang ke Perak.

"Kita (Perak) akan dapat bekalan dari Pulau Pinang pada 24 Februari (Rabu).

"Kita akan pastikan vaksin itu sampai dengan selamat ke negeri Perak dengan kita bagi bantuan escort dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Dan akan dibawa ke mari, kita telah dimaklumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa Perak ada empat pusat penyimpanan. Pertama di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, di Teluk Intan dan Taiping dan sebuah lagi di Hospital Angkatan Tentera, Lumut.

"Secara keseluruhan perjalanan (vaksin) semalam berjalan lancar dan kita berharap perjalanan seterusnya pada tarikh yang ditetapkan juga begitu.

"Kita akan beri sokongan penuh kepada pihak KKM untuk pastikan vaksin itu sampai dengan selamat," beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Anderson, Ipoh pada Isnin.

Ujarnya lagi, seramai 10,924 pegawai dan anggota polis Perak akan menerima suntikan vaksin COVID-19 fasa pertama.

Katanya, jumlah itu turut membabitkan semua formasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perak, selaras dengan pengumuman program vaksinasi untuk petugas barisan hadapan.


Semua berita vaksin COVID-19