JOHOR BAHRU: Polis memerlukan tempoh lebih panjang untuk melakukan siasatan lanjut dan menyeluruh terhadap insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini, 17 Mei lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penahanan lima ahli keluarga suspek serangan itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah relevan kerana tindakan membunuh anggota polis adalah satu perbuatan yang sangat serius, sekali gus mengganggu gugat keselamatan rakyat.

"Lebih-lebih lagi reaksi Singapura memperketat kawalan keselamatan pintu masuk negara mereka susulan insiden ini.

"Jadi ke arah itu, beberapa akta yang kita guna pakai misalnya pada peringkat awal penahanan kita guna akta Kanun Keseksaan dan tempoh tahanan (mengikut akta itu) belum dapat menyelesaikan semua urusan (siasatan).

"Berdasarkan magnitud kes ini, pasukan polis memerlukan tempoh yang lama untuk menyempurnakan siasatan bagi memastikan isu keselamatan dan keamanan rakyat terjamin," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1 2024 dan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita berkaitan justifikasi penahanan lima ahli keluarga suspek kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu mengikut Sosma.

Jumaat lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata kelima-lima individu terbabit ditahan mengikut Sosma selepas tempoh reman mereka tamat pada Jumaat lepas.

Sebelum ini tujuh individu terdiri daripada dua penuntut institusi pengajian tinggi dan lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua penuntut terbabit bagaimanapun dibebaskan tanpa syarat, Rabu lepas.

Dalam kejadian serangan pada 17 Mei lepas itu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia manakala suspek berusia 21 tahun mati ditembak.

Serangan berkenaan turut menyebabkan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera terkena tembakan pada bahu dan pinggul.

-- BERNAMA