KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan individu yang ditahan di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, semalam dipukul oleh anggota polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan mengarahkan pengadu membuat laporan polis.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini, polis menafikan sekeras-kerasnya berlaku sebarang kekerasan kepada mana-mana tangkapan atau OKT yang berada dalam kawalan atau tahanan polis.

"Sekiranya kejadian ia benar-benar berlaku, kita alu-alukan dia buat laporan polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, berdasarkan siasatan, individu yang ditahan bukan penduduk Kampung Muhibbah sebaliknya datang dari kawasan luar.

Katanya, mereka difahamkan datang ke lokasi itu bukan untuk menyampaikan bantuan sebaliknya hanya membuat demonstrasi.

"Ketika pemantauan dibuat, semua yang ditahan sedang berhimpun sambil memegang sepanduk yang mengandungi kata-kata provokasi dan membantah perlaksanaan PKP di Tawau.

"Penganjur didapati gagal mengemukakan Notis Pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah dan diberikan arahan bersurai namun tidak diendahkan dan perhimpunan masih diteruskan," katanya.

Hazani berkata, aktiviti perhimpunan berkenaan adalah aktiviti terlarang yang menyukarkan pelaksanaan penjarakan sosial dan pematuhan SOP seperti mana diwartakan kerajaan.

Sebelum ini, tujuh individu berusia 26 hingga 31 tahun yang ditahan membabitkan perhimpunan protes terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya dan kini ditahan reman selama dua hari, bermula hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.