Skip to main content

Malaysia

Dakwaan buli: Ejek-mengejek dipercayai punca pelajar tingkatan tiga dipukul - Polis

[TB]_sindiket pengedaran dadah IPK Selangor 2_ASTRO AWANI_SHAHIR OMAR
Shazeli berkata suspek berusia 17 tahun telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara pihaknya melengkapkan siasatan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

SHAH ALAM: Siasatan polis mendapati kejadian seorang pelajar tingkatan tiga yang dipukul di sebuah sekolah menengah di sini, baru-baru ini dipercayai berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek sesama pelajar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kejadian itu turut menyebabkan mangsa berisiko mengalami masalah pendengaran.

"Setakat ini, hanya seorang suspek ditahan untuk membantu siasatan, rakaman percakapan dan keterangan sudah diambil.

"Punca kejadian berdasarkan keterangan yang diperoleh setakat ini adalah berkaitan ejek-mengejek yang berlaku sebelum ini antara kenalan satu sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pada Rabu.

Menurut Shazeli, susulan kejadian itu, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang juga bersekolah di sekolah sama dengan mangsa ditahan dan direman bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu ugutan serta mendatangkan kecederaan.

Pada Selasa, ibu mangsa berusia 43 tahun mendakwa anak lelakinya mengalami kecederaan pada kepala dan telinga selepas dipercayai dibuli serta diserang di sebuah sekolah menengah di Shah Alam.

Wanita itu berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas anaknya pulang dari sekolah minggu lalu dan menceritakan apa yang berlaku.

Katanya, anaknya turut didakwa sudah berdepan gangguan daripada kumpulan pelajar sama sejak tingkatan satu.

Must Watch Video

Advertisement