KUALA LUMPUR: Berbekalkan rekod pengalaman sebagai bekas pemimpin pelajar, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau menjuarai pemikiran anak muda agar lebih kritis dan bebas untuk membawa negara ke tahap lebih tinggi di masa depan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, tidak ada Perdana Menteri sebelum ini yang memahami sepenuhnya kehendak anak muda terutama barisan pelapis kepimpinan negara di masa akan datang yang mahukan pemikiran mereka diperhebatkan tanpa sekatan dan suara mereka didengari oleh pemimpin atasan.
"Anwar membuktikan beliau menjuarai aspek ini, mungkin kerana beliau sendiri adalah bekas pemimpin pelajar yang lantang menegakkan kebenaran, dengan memansuhkan AUKU 1971 yang ternyata tidak lagi relevan dan membatasi peluasan pemikiran anak muda terutama pelajar universiti.
"Walaupun mungkin berdepan tempoh masa yang panjang dan berpotensi untuk menjadi serangan berbalik ke atas kerajaan apabila mahasiswa bebas mengkritik kerajaan, tindakan Anwar ini sangat berani dan harus dipuji kerana membebaskan pemikiran, suara anak muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) menyifatkan langkah memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan menggalakkan budaya pemikiran yang kritis dan bebas di institusi pengajian tinggi (IPT).
G25 mengalu-alukan jaminan Anwar bahawa undang-undang yang akan menggantikan AUKU tidak akan menyekat hak dan kebebasan mahasiswa, sambil menyatakan bahawa pemerkasaan golongan muda perlu bermula di IPT.
Mengulas lanjut, Mohd. Izani berkata, pemansuhan AUKU dan pengenalan akta baharu perlu juga menekankan soal pembinaan jati diri dan keperibadian unggul yang mengutamakan soal tanggungjawab di sebalik lebih banyak kebebasan diberikan kepada mahasiswa.
Beliau percaya akta baharu nanti akan mengambil kira hal ini kerana kemenjadian mahasiswa yang kaya dengan nilai kemanusiaan perlu dipupuk dan diperkasakan sepanjang pengajian mereka di kampus.
“Dalam kata lain, bukan sekadar soal kecemerlangan akademik tetapi pemerkasaan mahasiswa yang lestari.
“Juga mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab di sebalik hak yang diberikan. Kebebasan yang perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.