SIBU: Polis akan melibatkan penyertaan suri rumah di negeri ini bagi membantu membanteras jenayah di kawasan taman perumahan menerusi Program Taman Angkat AMANITA Kontinjen Sarawak yang dilancarkan hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata inisiatif taman angkat itu bertujuan meningkatkan penglibatan polis secara lebih dekat dengan penduduk di kawasan perumahan selain berkomunikasi dengan suri rumah dalam usaha mencegah jenayah.

Katanya AMANITA merupakan satu unit khas di bawah Polis Diraja Malaysia yang ditubuhkan pada Mac 2013 bagi memperoleh maklumat berkaitan jenayah yang tidak dilaporkan dalam kalangan masyarakat sekali gus membantu polis mengurangkan kadar jenayah.

"Pegawai AMANITA akan mengadakan kolaborasi antara polis wanita dengan suri rumah. Inisiatif taman angkat AMANITA ini juga akan menjadikan kawasan kediaman lebih selamat.

"Kerjasama ini diharap dapat membantu polis dari segi penyampaian maklumat berkaitan jenayah. Jika mereka mendapati ada perkara mencurigakan berlaku di kawasan sekitar, mereka boleh berhubung terus dan melaporkan kepada polis dengan segera," katanya pada majlis pelancaran Program Taman Angkat AMANITA Kontingen Sarawak Taman Kemuyang di sini semalam.

Mohd Azman berkata suri rumah adalah golongan yang tepat untuk menyalurkan maklumat kepada polis kerana mereka sentiasa berada di rumah dan mengetahui perkembangan sesama jiran.

"Jadi, mereka berhak diberi mandat untuk sama-sama mencegah jenayah setempat," katanya dan menambah kriteria pemilihan taman angkat adalah berdasarkan kepada indeks jenayah di sesuatu kawasan.

Menurutnya dengan menjadikan Taman Kemuyang sebagai taman angkat AMANITA, ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat malah kawasan sekitarnya yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk.

-- BERNAMA