IPOH: Polis sedang menyiasat kejadian samun barang kemas dalam kenderaan di tempat letak kereta berhampiran sebuah kedai emas di Kuala Kangsar, melibatkan kerugian kira-kira RM1.4 juta yang tular di laman sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.22 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa iaitu dua jurujual emas lelaki telah disamun beberapa lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dan tukul.

"Cermin kereta mangsa telah dipecahkan bagi mendapatkan barang kemas yang bernilai lebih kurang RM1.4 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak dengan bersenjata atau rompak serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Justeru, Omar Bakhtiar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Kangsar ASP Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436 atau 05-7762222.

Terdahulu, tular sebuah video di laman Facebook Viral Perak yang memaparkan kejadian samun berkenaan.

-- BERNAMA