JOHOR BAHRU: Polis akan menjalankan siasatan susulan video tular menerusi media sosial yang memaparkan sekumpulan individu berhibur di sebuah konsert di Ayer Hitam dekat Batu Pahat baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan itu bagi mengenal pasti penganjur dan individu yang terlibat dalam konsert berkenaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu setakat ini.

"Tidak boleh berpesta, ia akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan siasat serta ambil tindakan.

"Kerana sudah tentu (konsert) ini tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) jika mereka berhibur dan sebagainya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya pihak polis menerima laporan berhubung video tular itu.

Kamarul Zaman berkata siasatan akan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Terdahulu video berdurasi 52 saat itu memaparkan sebuah kumpulan muzik mengadakan persembahan dengan sekumpulan lelaki dan wanita sedang rancak berjoget sehingga mengabaikan SOP.

-- BERNAMA