BUKIT MERTAJAM: Polis menyita sebanyak 16 buah motosikal dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) dan Seberang Jaya, di sini bermula malam tadi hingga awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San berkata operasi bermula 11.00 malam itu, dijalankan dalam usaha membanteras kegiatan samseng jalanan yang menunggang motosikal sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain dan menganggu ketenteraman awam.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah SPT telah menjalankan operasi itu dan selain menyita 16 buah motosikal dan mengeluarkan 74 keping saman, atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral iaitu samseng jalanan dan operasi secara giat akan diteruskan, bagi membendung kegiatan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu tular video di laman sosial sekumpulan penunggang motosikal dipercayai berlumba secara haram dengan turut bertaruh wang tunai sehingga ribuan ringgit kawasan BKE pada minggu lepas dan ia telah menimbulkan kegusaran orang ramai kerana bimbang berlaku kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengeluarkan 109 saman dalam operasi bersepadu yang dijalankan di Lebuhraya Sultan Azlan Shah, dekat sini semalam.

Kenyataan itu memaklumkan Unit Operasi JPJ Pulau Pinang bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timut Laut dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah menjalankan operasi itu bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari semalam.

"JPJ telah mengeluarkan sebanyak 109 saman dan antara kesalahan ialah tiada lesen memandu, tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan ( GDL ), Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tayar haus berlebihan dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dibenarkan," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, JPJ turut menyita sebuah lori membawa muatan gelung besi yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun, kerana memandu kenderaan perkhidmatan perdagangan di bawah umur.

"Pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak mempunyai Lesen Vokasional Kenderaan Barangan (GDL) dan syarat untuk mendapatkannya mestilah berusia 21 tahun ke atas," katanya.

-- BERNAMA