BALING: Polis menyita 40 buah motosikal dan mengeluarkan 261 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kesemua kenderaan itu ditahan Op Motosikal di Kampung Surau dan Kampung Bakai, Malau di sini kerana dipercayai melakukan kesalahan termasuk mengubah suai ekzos.

Beliau berkata, operasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dengan kekuatan seorang pegawai kanan dan 24 anggota bermula jam 4 petang hingga 1 pagi tadi.

“Operasi itu dilakukan susulan maklumat orang awam yang diterima pihaknya.

"Secara keseluruhan sebanyak 261 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan.

"Sebanyak 40 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan terutama kesalahan ubah suai motosikal iaitu mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Kesemua kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsudin, IPD Baling akan terus mempertingkatkan operasi bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya kegiatan motosikal dan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya terutama golongan muda.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak terbabit dengan kegiatan motosikal dan pengubah suaian motosikal supaya dapat menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Shamsudin berkata, kesemua motosikal yang disita itu dibawa ke IPD Baling untuk tindakan lanjut.