Polis Sabah menahan 12 individu dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di dua lokasi berasingan di daerah Penampang dan Ranau minggu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata insiden pergaduhan yang berlaku di Petagas Isnin lepas menyebabkan kematian Abdul Shukur Abdullah, 57, yang mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala ketika cuba membantu anak dan cucunya yang terlibat dalam pergaduhan bersama dua lelaki Pakistan di sebuah kedai runcit.

"Dalam kejadian itu, anak mangsa, 31, bersama anaknya berumur enam tahun ke kedai itu untuk membeli makanan ringan dan membayar di kaunter kepada salah seorang penjaga (suspek) kedai. Bagaimanapun, anak mangsa kemudian datang semula ke kedai itu untuk membeli lagi makanan ringan dan membayar kepada suspek kedua dan memasukkan makanan ringan itu ke dalam plastik yang sama.

"Apabila suspek pertama ternampak anak mangsa memasukkan makanan ringan itu ke dalam plastik yang sama, dia beranggapan mangsa telah mencuri makanan ringan itu dan akhirnya berlakulah pertengkaran sehingga di luar kedai runcit," katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.

Omar berkata suspek yang berumur 30 dan 44 tahun itu ditahan reman untuk disiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, insiden di Ranau pada Ahad lalu melibatkan dua kumpulan lelaki berumur antara 14 hingga 46 tahun terdiri daripada warga asing dan tempatan.

Omar berkata kejadian berlaku apabila seorang warga asing ditumbuk oleh seorang suspek tanpa sebarang sebab pada hari sebelumnya.

"Keesokan harinya, mangsa datang semula ke kedai tempat suspek bekerja dan bertanya kepada rakan sekerja suspek punca dirinya dipukul dan ditumbuk. Suspek kemudian datang bersama beberapa rakannya yang lain.

"Pada masa sama, rakan mangsa juga datang dengan membawa parang dan besi sehingga mencetuskan pergaduhan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua insiden itu mendapat pelbagai komen negatif daripada netizen dan ia boleh mengundang rasa ketidakpuasan hati dan kebencian dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA