KUANTAN: Polis menahan 12 warga asing kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian menerusi serbuan berasingan di beberapa lokasi di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata tangkapan dilakukan hasil maklumat berhubung pusat panggilan penipuan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Sungai Lembing di sini pada Isnin lepas.
Beliau berkata hasil risikan lanjut, polis menahan seorang lelaki warga China di sebuah pusat peranginan kerana dipercayai terlibat dengan sindiket itu.
“Maklumat diperoleh daripada suspek itu membawa kepada lima serbuan di sekitar Kuantan dengan 11 individu diberkas terdiri daripada sembilan lelaki warga China, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Myanmar. Kesemua suspek berusia 21 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azry Akmar berkata modus operandi sindiket dipercayai beroperasi sebagai khidmat pelanggan dengan menggunakan aplikasi pelaburan secara dalam talian untuk memperdayakan mangsa menyertai pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Semakan sejarah komunikasi melalui aplikasi Telegram dan Meta Business turut menemukan perbualan yang menunjukkan hubungan antara sindiket dengan mangsa bagi menawarkan pelaburan melalui aplikasi itu,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal turut mendapati sindiket berkenaan menggunakan talian internet tempatan dan dipercayai beroperasi di Malaysia sejak dua bulan lepas dengan menyasarkan mangsa dari China dan Eropah.
Dalam serbuan itu, polis merampas 14 telefon bimbit, tujuh komputer, sebuah komputer riba, dua unit router WiFi, sebuah kenderaan serta satu unit alat kawalan jauh kenderaan dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM215,000.
Azry Akmar berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti mangsa terlibat dan jumlah kerugian sebenar serta rangkaian sindiket.
Isnin lepas, JIM menumpaskan satu sindiket penipuan panggilan telefon dengan menahan 95 warga asing dan tiga warga tempatan berusia antara 20 hingga 75 tahun di Sungai Lembing.
-- BERNAMA