Polis tahan dua lelaki bantu siasatan kes tembak di Nibong Tebal

Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dipercayai pemilik premis mencuci kenderaan yang ditembak di hadapan kedainya di Jalan Besar Permatang Keling, Jumaat lepas. - Foto hiasan
NIBONG TEBAL: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dipercayai pemilik premis mencuci kenderaan yang ditembak di hadapan kedainya di Jalan Besar Permatang Keling di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata dua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan secara berasingan di negeri itu, dengan pihaknya masih menyiasat motif sebenar insiden tersebut.
"Suspek masing-masing direman sehingga 24 dan 25 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, seorang lelaki tempatan berusia 30-an disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan selepas ditembak beberapa das pada bahagian badan dan kaki dari jarak dekat oleh seorang suspek tidak dikenali.
Mangsa didakwa didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal dengan seorang daripadanya menunggu di kenderaan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


