TUMPAT: Polis menahan dua lelaki dan merampas 1,064 pil yaba bernilai RM11,182 menerusi dua serbuan di sini, pada Khamis dan Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata dalam serbuan pertama kira-kira 6 petang, Khamis lepas, polis menahan seorang penganggur berusia 20-an di Kampung Cherang Melintang, Chabang Empat dan merampas 542 pil yaba bernilai RM5,962 dalam beg silang miliknya.

"Serbuan kedua pula terhadap seorang duda berusia 30-an pada 11 malam, di Kampung Kolam Teratai, Palekbang, keesokan harinya, dan polis menjumpai 522 pil yaba bernilai RM5,220 di dalam poket seluarnya," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine dan dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun lepas.

Menurut Mohd Khairi seorang daripadanya direman hingga Khamis ini manakala seorang lagi hingga Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA