GEORGE TOWN: Polis menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri dipercayai ahli sindiket dadah antarabangsa dan merampas 86 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM4.31 juta dalam siri serbuan di Selangor serta Pulau Pinang, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata kejayaan itu hasil perkongsian risikan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Thailand selepas pihak berkuasa negara jiran menahan seorang lelaki warga Malaysia dalam sekatan jalan raya di daerah Hua Hin, Thailand pada 8 Ogos.
“Pemeriksaan menemukan 166 kg methamphetamine disembunyikan dalam kereta dipandu suspek. Susulan itu, polis narkotik Thailand menjalankan siasatan dan berkongsi maklumat risikan dengan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
“Hasil risikan, kita melancarkan Ops Zorav Terra dan pada 13 Ogos, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand termasuk sepasang suami isteri di Selangor yang berperanan sebagai penghantar kepada sindiket itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) JSJN Bukit Aman Datuk Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi serta Sub Bahagian Risikan, Biro Pencegahan dan Pembanterasan Narkotik Polis Diraja Thailand Kolonel Polis Sintu Chanpaibooi.
Lim berkata sehari selepas itu, pasukan JSJN Bukit Aman menjalankan operasi di Butterworth dan menahan seorang lelaki berusia 19 tahun serta memeriksa kereta Nissan Teana di kawasan parkir sebuah hotel di situ.
Pemeriksaan menemukan 80 bungkusan mengandungi methamphetamine seberat 86 kg bernilai RM4.31 juta dalam ruangan khas di but kenderaan yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui jalan darat menggunakan kereta.
Lim berkata semua suspek berusia 19 hingga 25 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif ketamin.
“Siasatan mendapati sindiket itu mengubah suai struktur kereta bagi menyediakan ruang khas atau kompartmen tersembunyi untuk menyimpan dadah dan dipercayai ia dibawa oleh tiga suspek pertama yang ditahan.
“Mereka memperoleh dadah dari negara jiran dan menggunakan kenderaan berdaftar di Malaysia. Dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan kemungkinan turut dibawa ke negara lain dengan Malaysia dijadikan sebagai negara transit,” katanya.
Lim berkata sindiket dadah antarabangsa itu dipercayai aktif pada Jun tahun lepas dengan tiga suspek dipercayai telah beberapa kali melakukan penghantaran dadah ke Malaysia dengan upah kira-kira RM6,000 seorang bagi setiap perjalanan.
Siasatan mendapati dalang utama sindiket berada di Thailand dan ahli sindiket serta rangkaiannya turut berada di Malaysia dengan usaha mengesan mereka giat dijalankan dua pihak berkuasa itu.
Beliau berkata JSJN turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM420,700 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 menjadikan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan dianggarkan RM4.73 juta.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA