IPOH: Polis menahan empat lelaki disyaki menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dalam operasi bersepadu di Tapak Projek Silver Valley Technology Park, Kanthan Baru, Chemor di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan malam ini berkata tiga daripada empat lelaki itu daripada sebuah parti politik berusia antara 30 hingga 68 tahun dan seorang petani lelaki berusia 53 tahun.

Beliau berkata pihaknya telah mengesan beberapa siri video tular di media sosial oleh sebuah parti politik memaparkan insiden semasa penguatkuasaan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 di tapak projek itu yang telah menarik perhatian masyarakat umum.

"Operasi bersepadu ini diterajui oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan disertai beberapa agensi serta badan berkanun kerajaan negeri, manakala polis daerah Ipoh berperanan menjaga keamanan sepanjang operasi dijalankan.

"Semasa operasi dilaksanakan pada kira-kira 2.30 petang, sekumpulan petani dan ahli parti politik bertindak menghalang petugas PTG untuk menjalankan tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan pihak polis terpaksa melakukan tangkapan ke atas tiga lelaki (ahli parti politik) dan seorang lelaki (petani)," katanya

Yahaya berkata satu laporan polis turut dibuat berhubung tangkapan tersebut dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menurutnya kesemua suspek telah diberi jamin polis setelah proses siasatan selesai.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menerima satu laporan polis daripada PTG berkenaan seorang perempuan yang dipercayai ahli parti politik berkenaan, bertindak menghalang kenderaan PTG semasa menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan operasi tersebut.

Menurutnya kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Operasi bersepadu ini berjaya dilaksanakan dan petani serta ahli parti politik yang berkumpul di kawasan operasi bersurai dengan aman pada 2.45 petang," katanya.

Terdahulu, tular beberapa siri video dimuat naik oleh sebuah parti politik di laman media sosial yang memaparkan insiden semasa penguatkuasaan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dilaksanakan di tapak projek berkenaan.

-- BERNAMA