KOTA BHARU: Polis menahan lima lelaki tempatan berusia dalam lingkungan belasan tahun hingga 20-an bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan dua remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun yang berjaya diselamatkan dalam satu operasi di Machang semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor ketika dihubungi pada Ahad berkata, susulan penahanan itu, polis memperoleh perintah reman terhadap semua suspek yang ditahan di Machang petang Sabtu di Mahkamah Majistret Machang.
Beliau berkata, dua suspek utama direman selama lima hari manakala tiga lagi suspek direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali melahirkan rasa syukur apabila kedua-dua remaja berkenaan berjaya diselamatkan polis selepas dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut.
Pada Sabtu, dua remaja yang juga pasangan sepupu dilaporkan hilang sejak Khamis selepas keluar ke bandar Kota Bharu tanpa ditemani ahli keluarga buat kali pertama.
-- BERNAMA