GOMBAK: Sebuah video tular memaparkan sebuah kereta merempuh beberapa kenderaan lain di Bulatan Sierramas, Sungai Buloh di sini dalam usaha melarikan diri dari polis.

Menerusi video berdurasi satu minit 45 saat itu, dua anggota polis dipercayai terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kereta selepas dua lelaki enggan menyerah diri.

Harian Metro melaporkan, saksi kejadian berkata ia berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari apabila anggota polis cuba menahan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta model Proton Waja.

Namun, pemandu kereta tersebut dipercayai bertindak agresif dengan merempuh kenderaan lain dan melarikan diri.

"Bagaimanapun dua lelaki itu enggan membuka pintu kereta dan menyerah diri. Pemandu kereta itu sebaliknya menekan minyak dan merempuh lori yang berada di hadapannya.

"Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat ketika kebanyakan kenderaan sedang berhenti susulan lampu merah," katanya.

[TERKINI] Penjenayah | Polis tembak kenderaan, pemandu bertindak ganas

Menurutnya, suspek yang didakwa cuba merempuh anggota polis menyebabkan dua anggota polis yang berada di lokasi kejadian melepaskan tembakan ke arah tayar hadapan kiri kereta itu.

Malah, kereta penjenayah turut mengundur dan merempuh beberapa kenderaan lain,

"Saya rasa anggota polis terbabit amat berdiplomasi dan menggunakan kekerasan minimum. Mereka tidak menembak penjenayah terbabit walaupun berpeluang melakukannya.

"Malah penjenayah akhirnya berjaya melarikan diri walaupun dalam keadaan tayar kenderaan pancit," katanya.

Berdasarkan maklumat, kereta penjenayah akhirnya ditemui ditinggalkan berhampiran MRT Damansara Damai.

"Dua penjenayah di dalamnya dipercayai melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran," katanya.


 
Sumber Facebook inforoadblockjpjpolis

Astro AWANI sudah berada di lokasi untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden berkenaan.