KUALA LUMPUR : Polis Kuala Lumpur tidak menerima sebarang permohonan pemberitahuan perhimpunan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) atau mana-mana pihak.

Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sebarang perhimpunan tanpa pemberitahuan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu, katanya, polis mendapat maklum satu poster tular di media sosial berkenaan perhimpunan dipercayai dianjurkan Bersih iaitu Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 peratus dengan menyeru orang ramai berhimpun di Tugu Negara dan seterusnya berarak ke Parlimen.

Justeru, tegasnya, polis menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang.

Kata beliau, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.