MALAYSIA
Polis tingkatkan kawalan di mahkamah, pastikan prosiding inkues Zara Qairina berjalan lancar

Pengamal media berada di luar kamar untuk membuat liputan berhubung prosiding inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Allahyarhamah Zara Qairina. Turut kelihatan beberapa anggota polis. - Gambar Astro AWANI
KOTA KINABALU: Situasi terkini di luar perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu pada pagi ini menyaksikan kawalan ketat anggota keselamatan berikutan prosiding inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Tinjauan Astro AWANI sekitar jam 8.30 pagi mendapati laluan masuk ke Mahkamah Negeri yang terletak di Jalan Kebajikan itu dikawal rapi, termasuk sekatan di pintu masuk utama dipercayai bagi mengawal kehadiran orang ramai.
Pengamal media juga sudah memenuhi pekarangan mahkamah seawal pagi untuk membuat liputan berhubung perkembangan kes berprofil tinggi itu.
Prosiding inkues ditetapkan bermula pada jam 9 pagi.Allahyarhamah Zara Qairina, 17, dilaporkan meninggal dunia pada 15 Mei lalu selepas tidak sedarkan diri di sebuah pusat latihan di Tuaran.
Kejadian itu mencetuskan perhatian meluas masyarakat berikutan dakwaan mengenai unsur kecuaian dan kegagalan dalam aspek keselamatan.
Susulan itu, polis mengesahkan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun selepas penelitian awal, kes dirujuk ke mahkamah untuk prosiding inkues bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes ini turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin masyarakat yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam siasatan, khususnya kerana melibatkan kematian seorang remaja perempuan yang sihat sebelum kejadian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami