KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan enam siri pertaruhan perlumbaan haram melibatkan nilai RM214,800 sejak 2018 hingga 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tangkapan di Lebuhraya PLUS (Changkat-Jering) melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM165,000 pada 2018.

"Tangkapan di Lebuhraya Grand Saga melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM2,000 pada 2019, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM38,000 pada 2020.

"Tangkapan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) pula melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM800 pada 2020, pada tahun yang sama di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM4,000 dan tangkapan terakhir di Lebuhraya Shahpadu melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM5,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mat Kasim berkata, berdasarkan keseluruhan statistik keseluruhan Operasi Samseng Jalanan bermula April lalu sehingga kini sebanyak 390 operasi dan 602 tangkapan telah dilaksanakan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 dan Seksyen 81 (3) APJ 1987.

"Statistik tangkapan menunjukkan bahawa kekerapan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa telah berjaya dilaksanakan dan penemuan lokasi-lokasi baru dapat dikesan oleh JSPT," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tangkapan yang dibuat, kebanyakannya lebih tertumpu di Lebuhraya KL-Seremban (PLUS), Lebuhraya Kesas, Lebuhraya Persekutuan.

"Walaupun begitu terdapat lagi beberapa lagi lokasi hotspot yang aktif terutamanya di sekitar lembah Klang," katanya.

Menurutnya, berdasarkan lokasi perlumbaan lumba haram di Lebuhraya Besraya dan Lebuhraya KL-Seremban adalah tidak aktif.

"Hasil pemantauan berkala pada setiap malam minggu di Lebuhraya Besraya tiada sebarang aktiviti pertaruhan dikesan manakala Lebuhraya KL-Seremban hanyalah kumpulan konvoi motosikal yang dalam perjalanan pergi dan balik," katanya.

Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, pihaknya sedang mengenal pasti beberapa bengkel yang terlibat dalam pertaruhan lumba haram dan tindakan tegas akan diambil.

"Kita dalam usaha mewujudkan kerjasama dengan JSJ dalam perkongsian maklumat berkaitan isu samseng jalanan mahupun melibatkan lain-lain isu jenayah lain seperti kenderaan curi dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak 1,569 Operasi dijalankan melibatkan 2,560 tangkapan membabitkan samseng jalanan pada tahun lalu.

"Sebanyak 24,481 saman turut dikeluarkan sepanjang Op Samseng Jalanan ini dibuat dan sebanyak 3,370 motosikal berjaya disita daripada pesalah di jalan raya.

"Bagi memperkasakan tindakan ini sebanyak tiga siri bengkel dibuat dengan kerjasama Cawangan D14 JSJ Bukit Aman pada tahun 2021 di mana Unit Risikan Operasi didedahkan dengan penggunaan Akta Pencegahan Jenayah (Poca)," ujarnya.


Atikel asal di Sinar Harian.