Kerajaan tidak akan bertindak melesenkan portal berita sebagaimana dilakukan negara jiran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, katanya, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan tetap menguatkuasakan undang-undang yang ada.

"...bagi memastikan bahawa mana-mana pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berpelembagaan mahupun cuba 'subvert' sistem demokrasi berparlimen akan diambil tindakan sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013 dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012 di sini, Rabu.

Berkuatkuasa 1 Jun, kerajaan Singapura telah mengenakan syarat baharu perlesenan terhadap portal berita yang sering memuatnaik isu berkaitan republik itu dan mempunyai sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung sebulan, untuk mendapatkan lesen tahunan daripada Lembaga Pembangunan Media (MDA).

Najib dalam pada itu berkata Malaysia sedang melalui transisi daripada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi kepada sebuah negara maju dengan ekonomi berteraskan perkhidmatan moden dan berpendapatan tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses itu mengubah kehidupan rakyat yang kini majoritinya tinggal di kawasan bandar serta peningkatan pendapatan yang menurunkan kadar kemiskinan berbanding semasa merdeka.

Selain itu, penembusan jalur lebar nasional yang berada pada kadar 60 peratus, pelaburan besar dalam bidang pendidikan serta liberalisasi sektor pengajian tinggi telah melahirkan kelas menengah yang semakin vokal dan endah hak.

"Kerajaan perlu kreatif dan inovatif dalam menguruskan realiti baharu ini. Kelas menengah yang semakin asertif dan mahukan lebih rundingan di dalam penggubalan dasar-dasar nasional yang menyentuh hala tuju masa depan mereka perlu dijadikan sebahagian daripada penyatuan nasional yang akan membentuk semula Malaysia," tegasnya.

Pastikan anda tidak terlepas berita terkini. Muat turun aplikasi percuma AstroAWANI di App Store dan Google Play.