Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu pejabat pelajaran daerah dan pengurusan sekolah lebih proaktif dalam menangani masalah buli bagi memastikan isu itu tidak terus melarat.

Katanya ini termasuk mengadakan perbincangan dan perjumpaan dengan ketua polis daerah di kawasan masing-masing bagi mengenal pasti kawasan ''panas'' yang mempunyai elemen buli.

"Kes buli ini bukannya berlaku di semua sekolah, dalam satu-satu daerah mungkin ada dua atau tiga sekolah.

"Pihak pengurusan sekolah perlu lebih rapat dengan polis dan sekiranya ada kes jangan takut laporkan kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilftri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Ghazali Ibrahim, di sini hari ini.

Beliau berkata demikan bagi mengulas mengenai isu buli yang begitu kerap berlaku sejak kebelakangan ini termasuk kes T.Nhaveen, 18, yang maut di George Town, Pulau Pinang akibat dipukul dan didera oleh sekumpulan remaja termasuk dua pelajar sekolah.

Mahdzir turut menekankan mengenai kepentingan guru displin dan kaunselor di setiap sekolah meningkatkan kemahiran mereka dalam berdepan dan menangani pelajar yang mempunyai kecenderungan untuk membuli dan dibuli.

"Bagaimanapun saya tidak bersetuju jika guru dipersalahkan jika sesuatu kes buli berlaku. Masalah buli ini merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diselesaikan oleh semua pihak," katanya.

Pada majlis itu 3,200 individu dari 143 cawangan UMNO di Padang Terap menerima sumbangan berbentuk kain pelikat, beras pulut dan wang tunai.

--BERNAMA