MALAYSIA
PPM sokong saranan Nurul Izzah penglibatan pengakap bermula seawal darjah satu

Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Mohd Zin Bidin, sejajar dengan amalan di beberapa negara seperti Hong Kong dan Maldives, malah di Filipina, penyertaan dalam pengakap dimulakan seawal usia empat tahun.
KUALA LUMPUR : Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar, supaya murid seawal darjah satu diberi peluang untuk menyertai gerakan Pengakap.
Cadangan tersebut, menurut Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Mohd Zin Bidin, sejajar dengan amalan di beberapa negara seperti Hong Kong dan Maldives, malah di Filipina, penyertaan dalam pengakap dimulakan seawal usia empat tahun.
"Gerakan Pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum, malah merupakan satu wadah penting dalam pembinaan karakter dan jati diri generasi muda.
"Nilai-nilai murni seperti disiplin, kepimpinan, kerjasama, keberanian, semangat kesukarelaan, serta cinta kepada tanah air telah terbukti dapat dipupuk melalui penglibatan dalam pengakap sejak usia muda."Selain itu, kanak-kanak juga didedahkan kepada gaya hidup sihat dan aktif, berbeza daripada trend semasa yang terlalu bergantung kepada gajet dan skrin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, meskipyun wujud program pengakap peringkat pra sekolah yang dikenali sebagai Pengakap Lebah, penyertaannya terhenti sebaik sahaja kanak-kanak memasuki tahun satu.
"Mereka hanya akan kembali menyertai aktiviti pengakap semula pada tahun empat.
"Hal ini mewujudkan jurang yang besar dalam pembangunan sahsiah dan pendidikan bukan formal mereka," ujar Mohd Zin.
Tambahnya, langkah memperluas penyertaan pengakap kepada murid-murid tahun satu adalah bertepatan dan wajar diberi pertimbangan serius oleh pihak kementerian.
"Persekutuan Pengakap Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan terhadap saranan Nurul Izzah dan berharap semua pihak melihat cadangan ini sebagai satu langkah positif ke arah melahirkan generasi Malaysia yang lebih berwibawa, berkarakter dan bersedia mendepani cabaran masa depan," jelas beliau dalam kenyataan sama.
Sebelum ini, Nurul Izzah pada Khamis menyarankan Malaysia supaya mempertimbangkan untuk membenarkan penglibatan murid seawal darjah satu dalam gerakan pengakap, bagi memupuk nilai kepimpinan dan kemasyarakatan sejak usia muda.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami