KUALA LUMPUR: Labuan menjadi wilayah pertama yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata, peralihan Fasa PNN turut melibatkan Negeri Sembilan iaitu memasuki Fasa 2.

"Pengumuman peralihan ini berkuatkuasa bermula 26 Ogos 2021 bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan," memetik kenyataan tersebut.

Labuan

Mengulas berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Labuan, Ismail Sabri berkata wilayah itu telah mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.

"Perkara ini disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif COVID-19 harian di Labuan yang telah menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.

"Malahan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Labuan kini telah menurun ke angka sifar (0 peratus) berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya," katanya.

Antara kelonggaran yang akan dinikmati penduduk di Labuan dengan peralihan kepada Fasa 4 adalah seperti:
1) Semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuatkuasa.
2) Seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.
3) Majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, retreat, reunion dan lain-lain majlis sosial dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis/ dewan dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, katanya semua kebenaran ini tertakluk kepada SOP yang dikuat kuasa.

Negeri Sembilan

Sementara itu, Ismail Sabri berkata keadaan COVID-19 di Negeri Sembilan juga bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus pada Isnin (23 Ogos 2021).

"Perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima dua dos.

"Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat," katanya.

Antara kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan adalah sama seperti negeri-negeri lain yang telah beralih kepada Fasa 2 berdasarkan PPN adalah seperti:

1) Pergerakan rentas daerah dibenarkan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin.
2) Pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat keduaduanya telah lengkap dua dos vaksin.
3) Ibu bapa/ penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa, dengan syarat kedua ibubapa/ penjaga mestilah lengkap dua dos vaksin.
4) Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri. Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
5) Hanya pelanggan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk dine-in di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula WAJIB memaparkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi.
6) Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat WAJIB telah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay.