SHAH ALAM: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memperkukuh komitmennya dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang inklusif dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi sesi libat urus dengan komuniti tersebut baru-baru ini.
Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan libat urus itu membolehkan pihaknya memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi pengguna OKU, sekali gus menyokong usaha menambah baik kemudahan serta pengalaman perjalanan.
Prasarana mengadakan sesi pengenalan perkhidmatan bersama-sama wakil Persatuan OKU Damai Malaysia, Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) di Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam (SAL) baru-baru ini.
“Dalam sesi itu, wakil komuniti OKU diberikan peluang merasai sendiri pengalaman di SAL meliputi penggunaan lif, laluan condong, tandas mesra OKU, laluan pejalan kaki untuk OKU dan ruang khas bagi pengguna berkerusi roda di dalam tren.
“Menerusi interaksi secara langsung itu juga, Prasarana mendapat maklum balas sebenar pengguna bagi mengenal pasti aspek penambahbaikan merangkumi kemudahan, penyampaian perkhidmatan dan pengalaman perjalanan,” menurut kenyataan itu.
Prasarana menyatakan komuniti OKU turut diberikan pendedahan kepada Multi-Purpose Caring Room (MCR) di Stesen Pasar Seni, yang diperkenalkan sebagai projek rintis pada 1 Sept lepas.
“MCR berfungsi sebagai bilik penyusuan bayi dan ruang tenang bagi kanak-kanak autistik. Kemudahan itu juga dirancang untuk diperluas ke stesen-stesen lain,” menurut kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, Prasarana memaklumkan inisiatif Pas Rapid Mesra membolehkan komuniti OKU menikmati perjalanan percuma tanpa had menggunakan perkhidmatan rel, bas dan Rapid On-Demand di Lembah Klang, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.
-- BERNAMA