Premis makanan gagal patuh standard tandas BMW tidak dibenar perbaharui lesen mulai 2026 - Nga

Nga menyerahkan sijil kepada wakil Majlis Perbandaran Sepang selaku pemenang pertama kategori Kempen Premis Makanan Bersih 2025 pada Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia KPKT 2025 di BACC hari ini. - Gambar Bernama
BANGI: Premis perkhidmatan makanan di 20 kawasan bandar raya bakal berhadapan tindakan tidak dibenarkan memperbaharui lesen perniagaan, sekiranya didapati gagal memastikan tandas berada pada tahap Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tindakan tegas itu, dilaksanakan memandangkan pemilik premis telah diberikan penerangan serta tempoh masa yang mencukupi untuk memahami dasar baharu yang ditetapkan kerajaan.
"Saya telah keluarkan notis tiga tahun dulu iaitu pada 2023. Jadi, kita bagi tempoh tiga tahun untuk semua pengusaha untuk pastikan lesen (dan) ingin perbaharui lesen perniagaan, kebersihan tandas menjadi satu kewajiban," katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata bagi kes pembuangan sampah kecil, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat tidak melebihi 12 jam, antaranya meliputi skop kerja menyapu sampah atau mencuci longkang berkuat kuasa 1 Jan tahun depan."Mulai 1 Jan 2026 juga, siapa yang buang sampah bukan sahaja dia kena bayar kompaun sehingga RM2,000 di bawah bidang kuasa mahkamah majistret...tetapi sekiranya disabit kesalahan, dia juga boleh dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat 12 jam.
"Skop itu termasuk dia kena pergi sapu jalan, cuci longkang ataupun bantu bersihkan tandas awam," katanya.
Nga sebelum ini berkata Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat, memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Sementara itu, Nga berkata setakat ini, 12,000 tandas awam di seluruh negara telah berjaya dinaik taraf termasuk di kawasan sekolah, pasar, taman awam dan medan selera.
"Medan selera kini semakin hari ada kemajuan. Akan tetapi masih ada ruang untuk pembaikannya. Tekad kerajaan MADANI ialah kita nak pastikan supaya kemudahan dan prasarana asas itu akan sentiasa kita dipertingkatkan," katanya.
Beliau berkata ketetapan baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan tahap kebersihan dan imej negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Saya juga ingin menjemput seluruh warga Malaysia untuk bersikap ramah apabila pelancong datang bertanya jalan atau lokasi tempat makan yang sedap. Ini misi seluruh rakyat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami