WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis menggesa Kesatuan Afrika untuk menjadi ahli tetap Kumpulan 20 (G20).

Beliau berkata demikian pada hari terakhir Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Afrika di Washington DC, lapor Agensi Anadolu.

AS bekerjasama rapat dengan Kongres, merancang untuk memberikan AS$55 bilion di Afrika dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan matlamat "memajukan keutamaan yang kita kongsi dan menyokong agenda 2063."

Pada September lalu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Biden juga dilaporkan berkata yang beliau menyokong penuh usaha mereformasi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi memasukkan perwakilan tetap untuk Afrika.

AS juga sedang mengintai peluang untuk meningkatkan kerjasama dengan Afrika.

"Saya tidak sabar untuk melawat benua itu," kata Biden.

Washington DC menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Afrika selama tiga hari yang dihadiri 49 pemimpin Afrika.

-- BERNAMA