Presiden PAS berkuasa dalam memberi kata putus dalam apa jua perkara berkaitan parti, kata Majlis Syura Ulama PAS dalam keputusan persidangan majlis itu hari ini.

Menurut satu kenyataan oleh Majlis Syura di Harakahdaily, Presiden PAS mempunyai hak untuk berbuat demikian berdasarkan Fasal 26(1)(a) Perlembagaan PAS.

Dalam fasal itu, ia menyatakan bahawa "Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS".

Majlis Syura dalam kenyataan itu juga memutuskan bahawa semua Ahli Jawatankuasa PAS Pusat wajib mematuhi arahan Presiden serta menjalankan segala tugas yang diamanahkan seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m).

Mereka turut memetik sebuah Hadis Nabi yang menekankan kewajipan seseorang untuk mentaati ketuanya.

Selain itu, mereka juga menyeru ahli-ahli PAS agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh merugikan perjuangan Islam parti itu.

Minggu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menegaskan bahawa beliau sememangnya mempunyai kuasa dalam beberapa perkara termasuk melantik Menteri Besar dan beberapa perkara yang berkaitan dengan parti.

Abdul Hadi berkata keputusan yang dibuat oleh presiden parti mengikut perlembagaan perlu didukung oleh timbalan dan naib-naib presiden.