Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tidak timbul isu parti mana yang akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Katanya, apa yang penting adalah calon tersebut akan mewakili gabungan empat parti itu yang akan ditentukan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Yang akan bertanding adalah calon Pakatan Harapan. Bukan calon parti Pribumi, bukan PKR. Kita akan selesaikan siapa yang akan jadi calon,” katanya lara sidang media bersama wakil Malaysia sempena Sidang Kemuncak APEC Ke-26 di sini pada Ahad.

Beliau mengulas lanjut berkenaan desas desus beberapa nama yang akan diletakkan oleh parti komponen Pakatan Harapan pada PRK DUN tersebut.

Ditanya berkenaan rombakan Kabinet, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan melakukan rombakan Kabinet.

Bagaimanapun katanya, rombakan Kabinet hanya akan dilakukan sekiranya terdapat desakan.

“Bukan, saya tak kata apabila pilihan selesai. (Rombak) kalau ada desakan. Saya tak kata pasal PKR. Kalau ada desakan. Tapi bagi saya tak perlu kita rombak kerana kabinet ini baru sahaja dan kita belum uji kemampuan mereka,” katanya.