HULU SELANGOR: Pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah mendapatkan penjelasan daripada Khairul Azhari Saut berkaitan isu hutang.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkembangan tersebut akan dimaklumkan sendiri kepada umum oleh calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu itu kerana ia melibatkan isu peribadi.

"Kami menyedari dan tahu isu yang ditimbulkan terhadap calon selain telah mendapat penjelasan, siasat dan selidik sedalam-dalamnya.

"Bagi parti, kami tahu dan yakin calon yang diketengahkan bebas daripada perkara yang melanggar undang-undang negara, berkelayakan serta mampu menggalas (tanggungjawab) apabila terpilih sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) nanti.

"Beliau akan membawa suara rakyat di DUN dan kami akan jadi pembangkang yang berwibawa di Selangor," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum PN di Hulu Yam, malam Khamis.

Sebelum ini tular satu hantaran di media sosial yang mempersoalkan kredibiliti calon PN kelahiran Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Baharu itu yang didakwa masih dibelenggu hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu walau bagaimanapun mengelak ketika ditanya pemberita mengenai perkara berkenaan.

Sementara itu dalam ceramahnya, bekas Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa, kerajaan Selangor pada hari ini tidak peduli nasib rakyat berbanding ketika dipimpin bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Ketika Azmin jadi Menteri Besar, boleh beri cukai taksiran murah, buka tempat baharu untuk beri semula kepada rakyat, cukai penjaja juga percuma.

"Dulu negeri Selangor jadi negeri contoh, yang boleh dibanggakan, tetapi sekarang 'letih', ujarnya.

Terdahulu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengumumkan akan melaksanakan kadar cukai taksiran baharu untuk 181,144 premis yang terdiri daripada 85,646 premis atas tanah dan 95,498 premis strata.

Premis strata yang tidak diubahsuai pula akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus, sementara yang telah diubahsuai dinaikkan lebih tinggi. - Sinar Harian