JOHOR BAHRU: Biarpun kelihatan ada sedikit ketegangan di peringkat akar umbi Pakatan Harapan (PH) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam isu pembahagian kerusi, namun itu tidak menghalang pemimpin kanan mereka untuk sepentas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap yakin dengan kerjasama itu apabila hadir bersama di Majlis Pelancaran Jentera PH + Muda bagi PRN Johor, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan rundingan antara PKR dan Muda seperti tergantung apabila Anwar mengumumkan calon partinya sendiri untuk lima kerusi di Johor Selatan, termasuk dua yang diminta Muda, iaitu Kempas dan Larkin.

Namun, di sebalik isu berkenaan, Anwar dalam ucapannya menegaskan, perlu ada sinergi yang berterusan antara rakan-rakan dalam pembangkang dengan tujuan yang satu iaitu menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Apa yang kita lalui ialah mewariskan pola pemikiran, menggagaskan pembaharuan, mendambakan pembaharuan, supaya ada kebangkitan baharu di negeri ini.

“Dan saya sama sependapat dengan rakan-rakan kita, iaitu meletakkan harapan kepada rakyat Johor, untuk mereka membuat satu keputusan yang bijak dan berani, dan lakukan perubahan untuk kita mendepani masalah rakyat,” katanya lagi.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Dalam pada itu, Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, rakyat Johor perlu menghentikan ‘keangkuhan’ UMNO dan BN yang dikatakan cuba menjatuhkan satu-persatu kerajaan negeri yang bukan dikuasai mereka.

Beliau berkata, jika rakyat Johor enggan memberikan titik noktah, maka berkemungkinan besar akan ada lagi pilihan raya negeri yang lain, biarpun negara masih diancam dengan gelombang baharu COVID-19.

“Sebab itu PRN ini bukan berkenaan Pakatan Harapan, bukan berkenaan Muda, atau Perikatan Nasional, atau Barisan Nasional. PRN ini pilihan raya yang akan tentukan kebangkitan rakyat. Semua parti guna slogan sama, iaitu Johor Bangkit,” katanya lagi.

Sementara itu Guan Eng, yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, ‘keangkuhan’ itu termasuk insiden seorang menteri yang ditugaskan untuk membuat prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, namun beliau sendiri melanggarnya, dan akhirnya dikenakan kompaun.

“Dan apabila didedahkan... oh hanya kena denda saja. RM1,000 atau RM10,000, denda tak ada kesan sama sekali. Paling penting, yang langgar SOP adalah yang buat SOP. Law makers become law breakers.

“Ini timbulkan pertanyaan, adakah kerajaan serius lawan COVID-19? Atau adakah COVID-19 begitu serius seperti mereka uar-uarkan. Sampai yang buat keputusan, tak takut dengan COVID-19,” katanya lagi.

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pula berkata, rakyat Johor wajib membuat perhitungan dalam PRN kali ini.

“Oleh itu kita tumpu bagaimana nak ambil pemerintahan Johor, kembalikan mandat, dan PRU kembalikan kepada rakyat buat perubahan.

“Kalau tidak kehancuran demi kehancuran akan berlaku kepada rakyat Malaysia, hanya tunggu dan lihat. Sebab itulah kita mahu supaya kita semua bekerja, bersama, dengan semua rakan yang ingin melihat perubahan ini,” tegasnya lagi.