SEGAMAT : Sikap parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang enggan menerima kerusi yang ditawarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dilihat bakal menjadi bebanan kepada Pakatan Harapan, kata Ketua Penerangan AMK Aizuddin Ariffin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Aizuddin berkata, sikap yang ditunjukkan MUDA sama sekali berbeza kalau dibandingkan dengan rundingan parti itu bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sebelum ini.

Dakwanya lagi, MUDA bersifat ‘selektif’ dengan menolak kesemua kerusi ditawarkan PKR yang dikategorikan bukan kerusi 'empuk' dan kerusi luar bandar, di mana majoriti besar pengundi adalah dalam kalangan orang Melayu.

“Saya juga sempat meneliti kenyataan media yang dikeluarkan oleh parti orang muda ini bertarikh 18 Februari 2022. Respons kepada kenyataan yang disiar, saya membayangkan MUDA akan menjadi beban kepada Pakatan Harapan.

“Sikap angkuh, play victim, gelojoh dan pandai mengugut hanya akan menjauhkan rakyat marhaen daripada menyokong Pakatan Harapan,” katanya lagi.


Setakat ini MUDA sudah berjaya meletakkan calon mereka enam kerusi DUN, hasil rundingan dengan DAP dan Amanah, iaitu di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Media sebelum ini melaporkan, MUDA turut mengintai tiga lagi kerusi dari PKR iaitu Larkin, Kempas, dan Bukit Gambir, namun ditawarkan kerusi yang menjadi kubu kuat UMNO iaitu Tanjung Surat, Sri Medan, dan Semarang.

Dalam siri pengumuman calon PKR beberapa hari lepas, presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan nama bagi tiga kerusi yang diintai MUDA itu, sekali gus memberi bayangan rundingan mereka tidak berhasil.

Syed Saddiq pada 18 Februari berkata, sekiranya pertindihan kerusi antara MUDA, dan PKR tidak dapat dielakkan, parti itu akan menyerahkan keputusan di tangan rakyat Johor.

“MUDA menyertai Pilihan Raya Negeri Johor 2022 bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepada negeri Johor dan Malaysia.

"Negeri Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor.

“Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan Keadilan berkaitan kerusi MUDA-Keadilan, pimpinan MUDA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu in,” kata Syed Saddiq lagi

Mengulas lanjut, Aizuddin berkata, PH bersama-sama MUDA sepatutnya sudah mula mengorak langkah dengan mengetengahkan isu rakyat di bawah yang perlu diangkat.

“Saya khuatir, polemik yang dimainkan MUDA ini akan berterusan iaitu dengan sengaja mencipta persepsi atau naratif negatif agar rakyat terus menolak Pakatan Harapan.

“Jika saudara (Syed Saddiq) turun ke bawah dan mendengar pandangan rakyat kebanyakan, rata-rata akan menyebut 'UMNO BN atau PN bukannya kuat sangat, tapi persepakatan pembangkang yang tidak kuat'.

“Persepsi ini yang menghakis keyakinan rakyat kepada pembangkang. Usah dibiarkan berlarutan atau kita sudah bersedia menerima MUDA yang sebenarnya menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan,” katanya lagi.